Friday, September 24, 2010

Tiada Cubaan Polis Untuk Hubungi Saya - Shamsul

SHAH ALAM 23 September - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan polis tidak perlu mengeluarkan waran tangkap  untuk mendapatkan kerjasama beliau berhubung kenyataannya mengenai kes pembunuhan Sosilawati Lawiya.

Sebaliknya  polis hanya perlu  mengikut prosedur yang ditetapkan apabila memerlukan seseorang untuk tampil memberi keterangan, kata beliau.



“Adalah sangat tidak adil dan tersasar dari lunas undang-undang jika polis mendakwa saya gagal dihubungi sedangkan tiada sebarang percubaan menurut kaedah undang-undang untuk menghubungi saya dilakukan,” Shamsul berkata dalam  laman blognya.

Polis semalam berkata ia gagal mendapatkan kerjasama dari Shamsul dan akan mengeluarkan waran tangkap jika beliau terus gagal tampil memberi keterangan bersabit ulasannya mengenai kes Sosilawati.

Antara lain Samsul telah mempersoalkan kewibawaan bekas Ketua Polis Negara Musa Hassan apabila polis gagal bertindak ke atas empat kes orang hilang membabitkan suspek utama sebelum Sosilawati dijumpai dibunuh dengan kejam.

Ulasannya itu disiarkan oleh TV Selangor pada 13 Oktober lalu.

Isnin lalu, polis mengambil keterangan dari wartawan, penyampai berita dan pengarang terbabit dari portal berita itu.  Kes itu disiasat di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Samsul berkata ugutan polis untuk mengeluarkan waran tangkap sebagai tidak adil. “Sekirannya saya mahu dipanggil, sewajarnya prosedur yang betul dipatuhi, bukannya siasatan melalui media,” tegas beliau.

Samsul berkata beliau menyerahkan  peguamnya  yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff untuk berurusan dengan pihak polis.

Shamsul berjanji untuk mengulas lanjut kes Sosilawati pada sidang media esok di perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada jam 3 petang.

Adalah difahamkan Samsul akan membuat laporan kepada SPRM untuk memohon badan itu menyiasat  beberapa aspek kes berkenaan yang menimbulkan kecurigaan.

0 Responses to “Tiada Cubaan Polis Untuk Hubungi Saya - Shamsul”

Post a Comment