Friday, September 24, 2010

Orang Asli Hanya Berhak Bercucuk Tanam dan Membina Rumah

KELANTAN 24 September - Pembinaan gereja untuk orang Asli di Pos Pasik, 70 km dari Gua Musang sepatutnya tidak menjadi masalah jika ia dibuat melalui saluran yang betul dan bukannya secara 'bina dulu dan memohon kebenaran kemudian'.

"Isu utama saya nampak ialah pembinaan tanpa izin pihak berkuasa Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan pejabat tanah Gua Musang,” kata Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Yusof Wan Ngah.
Katanya, pihak orang Asli di Pos Pasik ataupun pihak gereja mesti memohon kebenaran terlebih dahulu.

“Masalahnya buat dulu minta kemudian. Kenapa tak bincang atau mohon lebih awal dan minta pandangan pihak berkuasa terlebih dulu. Di sini timbul soalan, gereja itu dibina atas kehendak siapa?" soal beliau.

Wan Nik mengulas laporan Malaysiakini pada 17 September lalu yang memaparkan masalah yang dihadapi oleh sebuah gereja yang dibina di Pos Pasik yang didiami oleh kira-kira 600 penduduk orang Asli suku Temiar.

Penduduk orang asli itu memeluk Kristian pada tahun 2001 dahulu dan sebelum ini, mereka membina gereja menggunakan buluh yang akan diperbaharui setiap dua tahun.

Menurut Moses Soo, Pastor yang menyeliakan gereja orang Asli di Kelantan, mulai bulan Mei lalu, mereka mula membina gereja itu dengan batu dan memaklumkan perkara ini kepada JHEOA, namun jabatan di bawah kerajaan persekutuan itu kemudiannya menolak cadangan itu.

"Sebenarnya semua urusan tanah di bawah tanggungjawab Ketua Jajahan, maka tidak benar Pos Pasik itu di luar kuasa pejabat jajahan. Cuma ia di luar bidang kuasa majlis daerah memang benar," kata Wan Nik.

Menurut beliau, hak eksklusif orang Asli dalam kawasan penempatannya hanya untuk bercucuk tanam dan tempat tinggal bukan untuk membina apa-apa bangunan termasuk rumah ibadat.

"Sebab sifat kehidupan harian orang Asli memang tiada rumah ibadat! Keperluan rumah ibadat adalah tertakluk kepada permohonan pihak agama itu sendiri atau kerajaan," katanya.

Apapun, katanya, prinsip dan dasar kerajaan negeri adalah selaras dengan perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 3(1) yang memberi hak dan kebebasan semua kaum dan agama mengamalkan cara hidup masing-masing.

"Tetapi di sana ada peraturan lain yang perlu dipatuhi bagi mengamalkan kebebasan itu.

 Maksudnya kebebasan berasaskan 'rule of law'. Pihak Pastor Moses Soo perlu bertimbang rasional, tak boleh nak 'force' tak tentu," kata Wan Nik.

Sebelum ini penyelaras bagi Centre for Orang Asli Concerns, Colin Nicholas berkata, kelulusan JHEOA tidak perlu dipohon dan surat mereka sebelum itu adalah hanya surat makluman.

"Orang Asli tidak berpuas hati dengan jawapan itu kerana mereka tidak pernah meminta kebenaran JHEOA,” katanya .

Menurut beliau, Orang Asli Pos Pasik berpendapat adalah menjadi hak mereka bagi membina struktur berkenaan di tanah mereka seperti yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

0 Responses to “Orang Asli Hanya Berhak Bercucuk Tanam dan Membina Rumah”

Post a Comment