Friday, October 8, 2010

Tuduhan Surat Layang Tidak Berasas

SHAH ALAM 8 Oktober - Pengerusi Parti Tindakan Demokrat (DAP) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menyifatkan surat layang yang menuduh pimpinan DAP menerima sogokan dari konsesi balak semasa Pakatan Rakyat mentadbir negeri Perak adalah tidak berasas.

Ngeh berkata kandungan surat itu bukan sahaja tidak munasabah, bahkan cuba mengaitkan semua pimpinan DAP, termasuk yang tidak ada kena-mengena dengan urustadbir Perak, seperti Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Ngeh berkata surat layang itu disebarkan kira-kira seminggu lalu, dan semua 19 Adun DAP menerimanya, termasuk juga Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang.

"Surat sampah ini adalah usaha untuk mencemar kredibiliti pemimpin DAP yang terbukti bersih selama ini," kata Ngeh.

Surat tersebar dikala desas-desus kuat mengatakan Pilihanraya Umum ke-13 semakin hampir. Surat tidak bertarikh itu mendakwa DAP menerima 43 konsesi balak selepas menerima sumbangan RM21.5 juta dari firma-firma pembalakan. Surat itu bagaimanapun tidak menamakan penerima sumbangan itu.

Ngeh berkata beliau bagaimanapun enggan membuang masa melayan surat layang tersebut. Beliau menambah surat itu tersebar sebelum perselisihan faham antara beliau dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran.

"Sekiranya ada bukti rasuah terhadap kami, sudah tentu Barisan Nasional bertindak terlebih dahulu," kata Ngeh.

0 Responses to “Tuduhan Surat Layang Tidak Berasas”

Post a Comment