Monday, January 10, 2011

Aktivis Ditahan Bukti Provokasi BN Sarawak Hadapi Pilihanraya Negeri


SHAH ALAM 9 Januari - Penangkapan Peguam Hak Asasi Manusia, Abun Sui Anyit dan Nicholas Mujah sebagai satu provokasi kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi, kata Baru Bian.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak ketika dihubungi TV Selangor turut menyatakan, kerajaan BN pimpinan Tan Sri Taib Mahmud gentar dengan perkembangan yang didedahkan oleh pejuang sosial negeri ini menerusi Pakatan Rakyat dan media alternatif.

"Saya berpendapat tangkapan ini berkaitan dengan politik kerana mereka sekarang ini takut bahawa kebenaran telah dikeluarkan dan ramai rakyat Sarawak kini tahu BN bersikap tidak adil terhadap rakyat Sarawak," katanya.
Abun Sui, ditangkap di Lapangan Terbang Kuching, 7 Januari lalu dan disoal siasat sehingga jam 3:30 pagi hari yang sama di bawah Akta Hasutan 1948 kerana membawa cakera padat rancangan Radio Free Sarawak dan TV Free Sarawak.

Semua cakera padat tersebut bagaimanapun dirampas polis dan beliau dikehendaki melaporkan diri di Balai Polis Kuching pada 7 Februari depan.

Sementara itu, Aktivis Persatuan Dayak-Iban Sarawak (SADIA) Nicholas Mujah pula telah disoal-siasat di Balai Polis Satok pada hari yang sama setelah enam orang pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN)  menyerbu ke pejabat SADIA pada 11.30 malam, selepas Abun Sui ditangkap. 

Lebih seribu keping cakera padat, dua mesin fotostat serta kereta Nicholas Mujah dirampas dalam serbuan kira-kira dua jam itu.

Pegawai KDN telah membuat aduan di balai polis bahawa mereka telah melanggar Akta Filem (Penapisan) 1952. Dua jam digunakan pegawai KDN untuk mengira dan merampas cakera padat ini, termasuk dua buah mesin fotostat.

Baru Bian berharap pendedahan hal ini oleh media dapat dimanfaatkan rakyat Sarawak.

"Kalau dilaporkan dalam surat khabar agak baiklah sebab ia menerangkan keadaan BN sekarang ini. Kita harap rakyat Sarawak tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena atau betul.

"Saya harap rakyat Sarawak pandai dan bijak memikir sebab tangkapan ini terutamanya pada masa ini ketika kita menunggu-nunggu masa untuk pilihanraya Negeri Sarawak," jelasnya lagi.

0 Responses to “Aktivis Ditahan Bukti Provokasi BN Sarawak Hadapi Pilihanraya Negeri”

Post a Comment