Friday, October 1, 2010

FELDA Enggan Pulangkan Wang Peneroka

KUALA LUMPUR 1 Oktober - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) didakwa masih enggan sehingga kini menyerahkan Wang Tanam Semula berjumlah RM17,000 kepada setiap peneroka yang mengerjakan tanaman kelapa sawit secara persendirian meskipun telah mematuhi semua syarat yang ditetapkan.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman menolak alasan Felda tidak menyerahkan kembali wang tanaman semula kerana mendakwa kira-kira 11,000 peneroka dikatakan tidak mematuhi garis panduan agensi itu.


"Antara garis panduan itu ialah pokok tua yang berusia lapan tahun harus ditebang dan peneroka hendaklah tanam pokok yang baru. Mereka mematuhinya tetapi wang tanam semula itu tidak juga diberikan Felda," kata Mazlan pada sidang media di Ibu Pejabat PAS tengahari semalam.

Mazlan menjelaskan, sejak 1970, Felda telah menubuhkan Tabung Tanam Semula yang dikutip secara bulanan dari setiap peneroka.

Peneroka mencarum pada kadar RM3.34 seekar dari 1970 sehingga 1984 dan kemudian ia dinaikkan kepada RM4.00 seekar mulai Januari 1985 bagi membiayai perbelanjaan penanaman semula tanaman kelapa sawit.

"Sungguhpun jumlah caruman tersebut hanya kira-kira RM9,600 tetapi persetujuan Felda memperuntukkan sebanyak RM17,000 bagi setiap peneroka sebagai anggaran wajar kos penanaman semula," kata beliau.

Felda juga menurut beliau bertindak melampau dengan memotong RM8,500 daripada Tabung Tanam Semula sebagaimana pakej berjadual yang dipersetujui.

"Felda mengemukakan pilihan bahawa daripada RM17,000 mereka memotong RM8,500 untuk digunakan bagi input pertanian seperti pembelian baja dan sebagainya dan bakinya dipulangkan kepada peneroka.

"Malangnya walaupun sebahagian peneroka akur dengan syarat yang dikenakan, Felda mungkir janji untuk mengembalikan baki separuh kepada peneroka. Maksudnya Felda juga gagal melunaskan baki wang penanaman semula dan saya ada bukti," jelas Mazlan.

Felda juga didakwa tidak membayar Wang Tanam Semula sebagaimana pakej berjadual yang dipersetujui.
"Mereka ajak kita berbincang dan bersetuju untuk membayar ansuran sebanyak tiga ataupun empat kali dan sampai masa, pakej yang dipersetujui itu juga tidak dihormati oleh Felda," ujar beliau.

Mazlan berkata Felda juga telah sewenang-wenangnya membuat potongan baru bagi caruman Tanam Semula kali kedua antara RM114 sehingga RM119 setiap bulan walhal caruman yang lama belum dilangsaikan.

"Dalam keadaan Wang Tanam Semula sebanyak RM17,000 tidak dipulangkan, tiba-tiba Felda telah secara sewenang-wenangnya memberi borang untuk potongan kali kedua dan terus memotong sehingga tiga kali ganda dan ini merupakan satu tindakan yang amat melampau," tegas Mazlan.

Katanya, apabila peneroka membuat bantahan Felda bertindak dengan memulang semula potongan kali kedua itu hanya kepada mereka yang membantah sahaja tetapi tidak kepada peneroka yang berdiam diri," katanya.

0 Responses to “FELDA Enggan Pulangkan Wang Peneroka”

Post a Comment