Monday, January 10, 2011

Interlok - Budayawan dan Ahli Politik Bertentang Pendapat


SHAH ALAM 9 Januari - Budayawan dan ahli politik tempatan bercanggah pendapat berkenaan novel kontroversi Interlok yang dianggap menyinggung masyarakat India.

Baru-baru ini, Kementerian Pendidikan telah mewajibkan novel Interlok sebagai teks pelengkap bagi pembelajaran Sastera Tingkatan Lima untuk tempoh percubaan 10 tahun. 

Tokoh budaya tempatan, Dinsman mempertahankan penggunaan buku Interlok agar dilihat sebagai satu karya seni seorang sasterawan negara dan bukan dijadikan alat politik oleh pihak tertentu.


"Kita tak nak novel ini ditarik balik, kita pertahankan novel ini, dan kedua kita berpendapat bahawa isu ini timbul disebabkan oleh pemikiran dan sikap prasangka perkauman yang semakin menebal di kalangan masyarakat Malaysia sekarang, terutamanya penyokong Barisan Nasional.

"Sekarang ini kita tengok sekarang ini novel ini telah dijadikan alat politik perkauman jadi kenapa sampai hendak membakar, novel itu sepatutnya dilihat sebagai satu karya seni dan bukan dilihat sebagai satu alat politik, " kata beliau.

Manakala Ahli Undangan Negeri Titi Serong Drs Idham Lim berkata, buku Interlok sudahpun berada di pasaran selama kira-kira 40 tahun dan mengapa baru kini ianya dipersoalkan pihak-pihak tertentu.

Justeru beliau mendakwa ada pihak-pihak yang cuba 'menangguk di air yang keruh' agar keharmonian kaum di negara ini terjejas.

"Saya cuma nak persoalkan buku ini telah lama pun diedarkan dan bukan baru dikarang, sebab apa isu ini baru dibangkitkan adalah kerana isu ini ada dalang disebaliknya untuk menimbulkan soal rasis ini untuk menimbulkan soal gap dan sebagainya dan tidak perlu ditimbulkan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam menegaskan agar beberapa perkataan yang menjadi isu kontroversi dipinda memandangkan ia tidak sesuai digunakan sebagai bahan pembelajaran di sekolah.

"Saya bersetujulah kalau nak dipinda perkataan itu boleh, kalau pinda sedikit perkataan itu, dalam buku itu dia hentam ketiga-tiga kaum, orang Cina dan Melayu pun ada, ada cakap malas la, jadi semua ada, justeru saya fikir beberapa perkara perlu ubahlah dan tukar ayat dia.

"Kalau digunakan untuk sekolah saya rasa mereka akan menggunakan bangsa lain seperti Cina dan Melayu akan memanggil orang India dengan Paria jadi perkataan itu tidak boleh diterima terutama masyarakat India, jadi benda-benda sensitif seperti ini tidak perlu terbit dalam bukulah," katanya kepada TV Selangor.

Sebelum ini Persatuan Penulis Nasional (Pena) telahpun menyatakan pendirian mereka bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha untuk meminda atau menarik balik buku teks tersebut.

Pena juga bercadang mahu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu tersebut.

0 Responses to “Interlok - Budayawan dan Ahli Politik Bertentang Pendapat”

Post a Comment