Friday, September 17, 2010

Shamsul sedia beri kerjasama jika dipanggil untuk merakam kenyataan

KUALA LUMPUR 16 September - Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin menyuarakan kesediaan beliau bekerjasama dengan pihak polis jika dipanggil untuk merakamkan keterangan beliau.

Ini ekoran kenyataan Ketua polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dilaporkan di Utusan Malaysia hari ini bahawa beliau akan memanggil Shamsul untuk dirakam kenyataan berhubung kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya.




Shamsul berkata, beliau bukanlah peguam seperti yang didakwa oleh Khalid dan beliau tidak tahu langsung berkenaan perincian kes ini tetapi beliau sanggup memberikan kerjasama.

"Menurut akhbar Utusan Malaysia hari ini, KP Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mahu memanggil saya untuk merakam kenyataan saya berhubung kes pembunuhan Datuk sosilawati Lawiya.

Saya ingin menegaskan bahawa pertama, saya bukanlah peguam tersebut seperti didakwa dan kedua, saya tidak tahu langsung berkenaan kes ini, tetapi saya akan bekerjasama dengan pihak polis," tegas beliau.

Membidas kenyataan Khalid bahawa beliau 'bercakap ikut sedap mulut' dan ia merupakan kenyataan paling 'merepek' yang pernah Khalid dengar, Shamsul berkata beliau tidak dapat menerima bahawa Khalid sebagai seorang individu berjawatan tinggi di dalam institusi kepolisan boleh berkata demikian.

"Pada pendirian saya, yang pertama, ya saya bersetuju memberikan kerjasama kerana tugas menjaga keselamatan bukan hanya pada polis, tetapi juga tanggungjawab kita sebagai seorang rakyat Malaysia.

"Apabila wartawan bertanyakan berkenaan kes ini, pertamanya saya merakan ucapan takziah dan kedua berasa geram terhadap pembunuhan kejam seorang wanita dan tiga rakannya," tegas beliau.

Kata beliau, yang kedua ialah beliau memuji tindakan polis yang cepat mengambil tindakan dan ketiga ialah meminta polis agar menumpukan kepada kerja membantu mengurangkan kadar jenayah dan bukannya menjaga ahli politik.

"Keempat ialah, saya ada terbaca dalam akhbar bahawa sudah beberapa kes serupa difailkan ke atas suspek sebelum ini dan banyak lagi kes sebegini di kawasan tersebut. Persoalan yang saya ingin bangkitkan ialah mengapa kes tersebut tidak disiasat secara mendalam?," tanya beliau.

Shamsul seterusnya berkata jika polis mengambil tindakan proaktif, menyiasat dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kes-kes yang difailkan sebelum ini, beliau yakin kes pembunuhan Datuk Sosilawati tidak mungkin boleh berlaku.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa beliau tidak akan berhenti menyuarakan kebenaran kerana ia berkaitan dengan keadilan untuk Datuk Sosilawati dan tiga rakannya yang mati dibunuh dengan kejam.

"Saya bersama ketua pimpinan yang lain sempat menziarahi keluarga Allahyarhamah Datuk sosilawati dan bersimpati serta saya tidak mahu kes sebegini berlaku lagi dalam negara kita.

"Saya harap KP Selangor berfikir dahulu sebelum membuat tindakan sebegini kerana bagi saya ini satu perkara yang cukup memalukan dan saya juga tidak akan teragak-agak untuk menyaman beliau kerana ini mencabar kredibiliti saya," kata Shamsul lagi.

0 Responses to “Shamsul sedia beri kerjasama jika dipanggil untuk merakam kenyataan”

Post a Comment