Friday, September 17, 2010

Mustahil Perkasa dapat menyaingi PKR walaupun menjadi parti politik

SHAH ALAM 16 September - Adalah mustahil untuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk mencapai kejayaan seperti Parti Keadilan Rakyat walaupun Perkasa menjadi satu parti politik yang sah.

Pensyarah dan penganalisa politik, Professor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata keputusan pemilihan dalam pilihanraya kepada pengundi dan parti yang akan memenangi undi adalah yang berjaya mendekatkan intipati perjuangan mereka dengan para pengundi.
"Pada masa ini, mustahil Perkasa dapat menyaingi pencapaian PKR walaupun Perkasa menjadi parti politik kerana majoriti pengundi masa kini merupakan golongan pekerja berpengetahuan (kknowlgde workers), dan sedar berkenaan isu-isu politik semasa," jelas beliau lagi.

Dr Agus menambah, Perkasa dilihat sebagai terlalu properkauman dan mungkin sukar untuk memenangi kerusi di dalam pilihanraya terutamanya di kawasan yang terdiri daripada pengundi dari pelbagai kaum.

Kata beliau, sesebuah parti tidak memerlukan 10 ke 20 tahun untum menjadi sebuah parti yang hebat tetapi aspek penting yang akan menentukan masa depan parti ialah pucuk pimpinan parti, intipati perjuangan, dan isu yang menyebabkan parti ditubuhkan.

"Jadi walau berapa tahun sekalipun, jika perjuangan sesebuah parti tidak boleh menembusi pemikiran masyarakat, tidak ada isu besar yang dibawa untuk memenangi hati rakyat di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama ini, maka parti itu kemungkinan tidak akan berjaya," jelas beliau lagi.

Dr Agus menambah, walaupun perjuangan Perkasa mungkin tidak sesuai dengan masyarakat majmuk Malaysia tetapi sebagai sebuah negara yang mempraktikkan konsep demokrasi perlu memberi ruang kepada Perkasa atau mana-mana organisasi untuk mendaftar dan berkempen.

"Sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi, jika Perkasa berniat untuk menjadi sebuah parti politik maka kita perlu memberikan ruang kepada Perkasa agar mereka juga diberi peluang yang sama untuk menyatakan perdirian mereka.

"Tetapi kuasa mutlak adalah pada rakyat dan selagi rakyat tidak berpuashati dengan intipati perjuangan sesebuah parti, tidak mungkin bagi parti itu untuk berjaya sebagai sebuah parti politik di Malaysia," kata beliau.

0 Responses to “Mustahil Perkasa dapat menyaingi PKR walaupun menjadi parti politik”

Post a Comment