Tuesday, September 28, 2010

Nik Aziz Ucap Takziah Kepada Keluarga Adun Galas

KOTA BAHARU 27 September - Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Chek Hashim Sulaima, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas yang meninggal dunia di Hospital Al-Islam di Kampung Baru, Kuala Lumpur, petang ini.

Sambil menyifatkan kematian Allahyarham sebagai suatu kehilangan bagi PAS, Mursyidul PAS itu berkata beliau akan berlepas ke kediaman Adun itu di Gua Musang pada 9 malam ini untuk menziarahi jenazah Adun berkenaan.

Katanya walaupun Chek Hashim bukanlah seorang yang banyak pengalaman kerana baru dalam politik, tetapi beliau berjaya membantu perjuangan Islam melalui PAS.

"Saya mendapat tahu mengenai kepulangannya ke rahmatullah selepas asar tadi melalui anggota Exco kerajaan negeri Datuk Takiyuddin Hassan, yang berada di hospital ketika itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, di sini hari ini.

Mengenai persiapan PAS dalam menghadapi pilihan raya kecil berikutan kematian Adun PAS itu, Nik Abdul Aziz berkata parti itu sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dalam menghadapi sebarang pilihan raya.
Katanya, PAS akan mengadakan mesyuarat berhubung persiapan pilihan kecil DUN itu dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, PAS sedaya upaya membantu Chek Hashim untuk mendapat rawatan termasuk dua kali di China dan hospital dalam negara.

"Saya mengucapkan takziah banyak-banyak kepada keluarga dan rakyat di kawasan beliau, minta Tuhan ampunkan segala dosanya," katanya.
Di Rantau Panjang, Speaker DUN Kelantan Mohd Nassuruddin Daud berkata Kelantan telah kehilangan  seorang pemimpin muda yang berwibawa dan banyak berjasa kepada rakyat khususnya di kawasan Gua Musang.

"Kita harap keluarga Allahyarham dapat bersabar dan menerima ketentuan Ilahi sebagai satu ujian," katanya.

Di Gua Musang, Pergerakan Pemuda Umno Kelantan turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Setiausahanya Bazlan Baharuddin berkata beliau yang mewakili semua anggota pergerakan itu mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham semuga rohnya ditempatkan bersama orang-orang mukmin," kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Gua Musang itu.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Chek Hashim.

"Allahyarham merupakan seorang wakil rakyat yang sangat mesra dengan penduduk-penduduk di kawasan beliau.

"Saya mendoakan semoga beliau ditempatkan di kalangan orang yang beriman," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mustapa berkata beliau berharap anggota keluarga Allahyarham bersabar dan tabah di atas pemergian Allahyarham kerana ia merupakan ujian daripada Allah kepada hambanya.

0 Responses to “Nik Aziz Ucap Takziah Kepada Keluarga Adun Galas”

Post a Comment