Wednesday, September 29, 2010

Mahkamah Tolak Permohonan 'UKM 4' Cabar Auku

KUALA LUMPUR 28 September - Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman pemula empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mencabar Seksyen 15(5)(A) Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) 1971 berikutan tindakan tatatertib universiti itu yang dikenakan terhadap mereka ekoran dakwaan bahawa mereka terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor, April lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas, Datuk Aziah Ali dalam kamarnya kira-kira pukul tiga petang tadi.


Kesemua pelajar dari jurusan Sains Politik tersebut adalah Hilman Idham, Ismail Aminuddin, Azlin Shafina Adzha dan Wong King Chai mencabar tindakan universiti itu yang mendakwa mereka di bawah Auku dengan menghalang mereka daripada terlibat dalam aktiviti politik.

Hakim Datuk Aziah juga turut membuat keputusan membatalkan perintah injuksi sebelum itu yang menghalang UKM daripada mengambil tindakan terhadap mahasiswa terbabit.

"Pendengaran injuksi erinford tidak dapat diteruskan hari ini kerana peguam mewakili UKM Datuk Shafie Abdullah tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak sihat.

"Jadi defendan sebentar tadi memberi jaminan kepada hakim bahawa korum barisan peguamnya akan dapat dipenuhi pada Jumaat depan," kata Haris Ibrahim, peguam mewakili mahasiswa terbabit kepada pemberita selepas itu.

Dua lagi peguam mewakili mereka adalah Malik Imtiaz Sarwar dan Ashok Kandiah.

Berikutan keputusan itu juga, keempat-empat mereka akan membuat rayuan injunksi bagi menghalang UKM meneruskan prosiding tatatertib ke atas mereka.

"Hakim bagaimanapun menetapkan tarikh 7 Oktober ini untuk pendengaran penuh injunksi tersebut," kata Ashok ketika menyampaikan keputusan itu kepada anak guamnya selepas keluar dari kamar mahkamah.

Sementara itu, Hilman yang juga merupakan Presiden Pengajian Sains Politik UKM menegaskan pendirian mereka untuk terus berjuang bagi memastikan Auku dimansuhkan walaupun permohonan mereka ditolak.

"Hari ini mahkamah menetapkan bahawa permohonan untuk mencabar Auku telahpun ditolak namun kami akan tetap teruskan perjuangan ini.

"Ini adalah satu titik permulaan bagi mahasiswa untuk terus bersemangat dan berjuang bagi memastikan Auku ini dimansuhkan demi masa depan negara," katanya.

Keempat-empat mahasiswa terbabit sebelum ini ditahan polis pada 22 April lalu di Pekan Rasa dan Ampang Pecah berhubung tuduhan menyokong parti politik semasa pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Mereka kemudian didakwa di mahkamah UKM kerana melakukan kesalahan menyalahi undang-undang Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku).

Bagaimanapun, mereka menafikan tuduhan itu dan mendakwa berada di Hulu Selangor bagi tujuan kajian penyelidikan akademik.

Sementara itu, lebih 50 mahasiswa berkumpul di perkarangan mahkamah bagi memberi sokongan moral kepada mereka.

Hadir sama memberi sokongan, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Badrul Hisham Shahrin dan Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail

0 Responses to “Mahkamah Tolak Permohonan 'UKM 4' Cabar Auku”

Post a Comment