Tuesday, September 28, 2010
Orang Luar Dalangi Kekecohan Di Pemilihan Segelintir Cabang
Do you like this story?
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya mempunyai cukup bukti bahawa kekecohan di beberapa cabang terbabit didalangi sama ada oleh orang luar atau termasuk bekas ahli PKR.
Lapan cabang yang diarah untuk mengadakan pemilihan semula adalah Klang, Kapar, Petaling Jaya Selatan, Kuala Langat, Kota Raja di Selangor, Merbok, Jerai, dan Kuala Nerus di Kedah.
Status keputusan pemilihan satu lagi cabang iaitu Subang di Selangor belum ditentukan sungguhpun ketua cabang itu R,Sivarasa Rasiah mempertikaikan keputusan pemilihan.
159 cabang lain di seluruh negara berjaya mengadakan pemilihan dan mesyuarat tahunan mereka tanpa sebarang insiden di bawah sistem baru yang berpaksi kepada satu ahli, satu undi.
Mengulas mengenai kekecohan itu, Saifuddin berkata pihaknya mengenal pasti tindakan kumpulan yang bertindak menimbulkan kekecohan setelah menyedari calon pilihan mereka akan kalah.
"Kita ada gambar dan ibu pejabat mengenal pasti identiti mereka yang bukan lagi menjadi anggota parti, malah sudah mengisytihar keluar parti.
"Apakala menyedari peluang untuk menang itu tipis, maka ketika itulah dilakukan kekacauan. Biasanya dimulakan dengan menghantar beberapa orang yang dengan mudahnya melepasi kawalan kerana jumlah petugas kita yang kecil", katanya.
Saifuddin bagaimanapun berkata jumlah cabang yang ‘bermasalah” dalam mengendalikan pemilihan masing-masing adalah kecil tetapi diperbesarkan oleh media arus perdana.
"Saya cukup terkilan melihat berita muka depan Sinar harian yang menyatakan pemilihan PKR seluruh Malaysia bermasalah, sedangkan hanya beberapa sahaja yang dikenalpasti bermasalah,” tegas Saifuddin.
"Saya ingin menegaskan kejayaan di 159 cabang jauh lebih bermakna daripada permasalahan di beberapa cabang dan kejayaan ini patut diberi perhatian," kata beliau
Saifuddin berkata, status pemilihan bagi cabang yang berlaku bermasalah akan ditentukan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Pusat, tidak lama lagi.
"Sama ada mereka akan mengadakan mesyuarat sebelum kongres, atau sebelum pengundian MPP (Majlis Pimpinan Pusat) atau pun selepas Kongres. Buat masa ini, kami belum mengadakan pertemuan," katanya.
Pemilihan PKR peringkat cabang akan disusuli dengan pemilihan pemimpin peringkat nasional pada November ini.
"PKR akan menghabiskan baki mesyuarat agung tahunan cabang pada Ahad ini. Sehingga 17 September, mesyuarat di 159 daripada 166 cabang telah berjalan lancar," kata beliau.
PKR yang mempunyai kira-kira 500,000 ahli, menjadi parti pertama di Malaysia yang memberikan setiap ahli hak mengundi pemimpin di peringkat cabang dan nasional, sekali gus menolak sistem perwakilan yang digunapakai Umno-Barisan Nasional sekian lama.
Sistem baru itu, antara lain, bertujuan mengatasi politik wang yang menjadi barah dalam Umno serta membolehkan PKR mengamalkan demokrasi tulen yang memberi ahli kuasa mutlak menentukan kepimpinan parti.
Sistem pemilihan satu ahli satu undi itu bagaimanapun membabitkan masalah logistik kerana memerlukan jumlah tenaga pekerja yang ramai serta langkah-langkah keselamatan yang secukupnya.
Saifuddin berkata, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan mengambil tindakan segera dengan menambah petugas yang mengendalikan proses pemilihan, selain turut menegur pengurusan cabang.
Ahli Parlimen Machang itu berkata, pengurusan cabang perlu lebih cekap dari sudut persediaan pentadbiran, logistik, keselamatan dan lokasi yang menjadi tanggungjawab pada proses pemilihan.
This post was written by: Franklin Manuel
Franklin Manuel is a professional blogger, web designer and front end web developer. Follow him on Twitter
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Responses to “Orang Luar Dalangi Kekecohan Di Pemilihan Segelintir Cabang”
Post a Comment