Tuesday, September 28, 2010

Penghakiman Dalam Bahasa Inggeris Tidak Sah - Karpal

KUALA LUMPUR 27 September - Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh hari ini berkata, semua penghakiman bertulis mesti dalam bahasa Malaysia manakala penghakiman dalam bahasa Inggeris diisytihar batal dan tidak sah.

Beliau  menegaskan demikian dalam bantahan awalnya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung saman fitnah yang difailkannya pada 2006 terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menyatakan hakim harus memenuhi syarat Akta Bahasa Kebangsaan, Karpal meminta mahkamah tertinggi itu mengarahkan Mahkamah Rayuan menulis penghakiman dalam bahasa Malaysia sebelum permohonan rayuan diteruskan.

Mengikut Malaysiakini, Karpal menyatakan penghakiman bertulis dalam bahasa Inggeris mungkin tidak mengikut perlembagaan dan memberitahu wartawan bahawa bantahan awalnya itu mungkin membawa implikasi serius.

"Sebahagian besar penghakiman bertulis bagi kes jenayah dan sivil dalam bahasa Inggeris di semua peringkat mahkamah. Oleh itu, ia menimbulkan persoalan terhadap kesahihannya dalam bidang kuasa semua penghakiman yang ditulis dalam bahasa Inggeris," katanya.

Kata  Karpal, Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan menyatakan bahawa semua prosiding (selain pemberian keterangan) di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau sebarang mahkamah bawahan, harus dalam bahasa kebangsaan.

Peruntukan itu juga, katanya, tertakluk ke atas hakim kerana ia tidak menyediakan mereka pengecualian untuk menulis penghakiman dalam bahasa Inggeris.

Seksyen 8 juga menyebut bahawa pihak mahkamah, boleh sama ada atas usulnya sendiri atau atas permohonan mana-mana pihak dalam mana-mana prosiding - dan setelah menimbang kepentingan keadilan dalam prosiding berkenaan - memerintahkan prosiding (selain saksi memberi keterangan), boleh sebahagiannya dibuat dalam bahasa kebangsaan dan sebahagian lagi dalam Bahasa Inggeris.

Dalam menolak rayuan Anwar sebelum ini, Hakim Datuk Abdul Malik Ishak berkata semua dokumen mahkamah hendaklah dalam bahasa kebangsaan kerana supremasi Bahasa Malaysia terkandung dalam perlembagaan persekutuan.

Ironinya, Malik yang menulis penghakimannya dalam Bahasa Inggeris, berkata Perkara 152 perlembagaan, dibaca bersama dengan Akta Bahasa Kebangsaan, menyebut bahawa semua prosiding mahkamah selain memberi keterangan, hendaklah dalam harus dalam bahasa kebangsaan.

0 Responses to “Penghakiman Dalam Bahasa Inggeris Tidak Sah - Karpal”

Post a Comment