Friday, October 1, 2010

Perbiracaan Fitnah II Perlu Adil dan Telus

SHAH ALAM 1 Oktober - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mahu keadilan diberikan sepenuhnya di dalam kes perbicaraan Fitnah II terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dianggap beliau ada 'tangan ghaib' di sebalik konspirasi terancang ini.

Beliau berkata, setiap aspek perundangan yang dihadapi Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu hendaklah melalui perbicaraan yang adil dan telus kerana menurutnya sebelum ini terdapat bukti-bukti apabila berlaku kes seumpama ini di luar negara, maka ia telah lama digugurkan.



"Saya mahu supaya setiap aspek perundangan yang dihadapi Datuk Seri Anwar mesti melalui perbicaraan yang adil kerana sebelum ini telah dapat bukti-bukti yang kalau berlaku di negara lain, kes ini telah lama dibuang tetapi masih lagi kelihatan seperti ada pihak-pihak tertentu yang di belakang tabir kepada kes ini," katanya kepada Suara Keadilan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata berikutan terdapatnya campur tangan pihak tidak bertanggungjawab di dalam kes ini telah menyebabkan imej negara tercemar.

"Ini yang dilihat oleh masyarakat antarabangsa mungkin satu campur tangan iaitu campur 'tangan ghaib' di mana ada konspirasi terancang untuk kes Datuk Seri Anwar ini yang memalukan kita di luar negara.

"Sehubungan itu, beliau menggesa perbicaraan kes Fitnah II perlu dijalankan berlandaskan kepada semangat keluhuran, kedaulatan undang-undang dan ketelusan.

"Jadi saya menekankan kes ini perlu ditangani dengan satu perbicaraan yang adil dan mengikut kepada semangat keluhuran dan kedaulatan undang-undang dan diadakan secara telus untuk kita memulihkan imej negara.

"Untuk itu, keadilan harus diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di dalam kes ini," katanya.

Anwar menghadapi tuduhan liwat oleh bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan perbicaraan beliau yang penuh dengan kontroversi dijangka bersambung pada 14 Oktober depan.

0 Responses to “Perbiracaan Fitnah II Perlu Adil dan Telus”

Post a Comment