Sunday, October 17, 2010

Umat Islam Dipelawa Sertai Ibadah Korban Anjuran Masjid Negara

KUALA LUMPUR 17 Oktober - Masjid Negara dengan kerjasama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia mempelawa umat Islam di negara ini menyertai program "Qurban for Life(Q4L)" bagi mendekati saudara seagama di seluruh dunia yang tidak mampu menikmati daging dan hidup dalam kedaifan.

Penolong Pegawai Perhubungan Awam, Unit Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara, Azri Zainal Abidin berkata, program yang bertemakan Sedekah dari Rakyat Malaysia untuk Masyarakat Dunia itu telah memasuki tahun ke-20 pelaksanaannya.
"Program ini dilaksanakan oleh rangkaian Muslim Aid dan pengagihannya dihantar hampir ke seluruh dunia Islam yang mengalami kemusnahan dan penderitaan seperti di Afghanistan, Afrika, Bangladesh, Indonesia, Iraq, Kashmir (India) dan Palestin malah rakyat termiskin di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, program qurban itu dilaksanakan oleh Muslim Aid melalui kaedah teknologi moden serta sistem pengagihan yang teratur dan bersistematik, di pusat penyembelihan terpilih yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan penyeliaan ketat Muslim Aid.

Melalui program ini, daging qurban dimasak dan ditinkan sebelum dihantar ke negara terpilih yang mengalami penderitaan akibat bencana alam atau peperangan dan juga rakyat Malaysia yang miskin serta anak-anak yatim, ibu tunggal dan Orang Kelainan Upaya (OKU), katanya.

Beliau berkata dengan harga RM380 untuk seekor kambing atau biri-biri, Masjid Negara dan Muslim Aid akan menguruskan segala-galanya iaitu daripada urusan penyembelihan, masakan, pengetinan dan penghantaran ke destinasi terpilih.

Selain itu, bayaran sebanyak RM450 akan dikenakan untuk satu bahagian lembu yang penyembelihannya akan dilakukan di Masjid Negara, katanya.

Azri berkata mereka yang berminat menyertai proram ini, boleh membuat pembayaran dengan datang sendiri ke pejabat Masjid Negara dan berhubung dengan Ustaz Jeffri Bujang atau Ustaz Fakhrurazi Mohd Yusoff.

Katanya lagi, selain itu bayaran juga boleh dibuat melalui deposit langsung menerusi CIMB Bank di nombor 1422-0000070-10-8 atas nama Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia atau EON Bank di nombor 0518-11-000311-5 atas nama Muslim Aid Asia Sdn Bhd.

Muslim Aid merupakan sebuah organisasi bantuan dan pembangunan antarabangsa yang mempunyai pejabat di Malaysia, Australia, United Kingdom (UK) dan Jerman, selain mempunyai pejabat cawangan hampir di kesemua negara Islam, dan mereka bertanggungjawab menyaring setiap permohonan serta menyediakan laporan terperinci berkenaan pengagihan daging qurban.

0 Responses to “Umat Islam Dipelawa Sertai Ibadah Korban Anjuran Masjid Negara”

Post a Comment