Saturday, January 15, 2011

Projek Air Langat 2 - Selangor Hanya Setuju Untuk Kaji


SHAH ALAM 14 Januari - Kerajaan Negeri Selangor menolak laporan kononnya ia memberi persetujuan penuh kepada  pelaksanaan Projek Loji Air Langat 2 sebagaimana yang dilaporkan oleh media arus perdana hari ini.

The New Straits Times hari ini memetik Menteri Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui sebagai berkata kerajaan Selangor akhirrnya bersetuju dengan projek Langat 2 dan tender-tender pembinaan loji akan dipanggil dalam tempoh terdekat.

Dalam satu kenyataan hari ini,  Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan  pihaknya hanya bersetuju  meneliti butir-butir terperinci projek  kerajaan Persekutuan itu demi menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.

"Pegawai-pegawai kerajaan negeri kini sedia untuk bekerjasama dengan pihak Persekutuan untuk meneliti unsur-unsur teknikal Projek Langat 2, dan menentukan sekiranya Langat 2 ini akan memanfaatkan rakyat Selangor," kata Khalid.

"Pada masa yang sama, kami berharap kerajaan Persekutuan akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk penyelesaian isu penyerahan semula pengendalian industri air kepada Kerajaan Negeri," tambah beliau.

Khalid berkata  secara prinsip, Kerajaan Negeri tidak pernah membantah projek itu  tetapi yang dipersoalkan keghairahan kerajaan Umno-Barisan Nasional untuk menyiapkan projek itu dengan segera,  sebelum isu penstrukturan semula industri air diselesaikan.

Pertikaian antara kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri membabitkan pengurusan aset air di Selangor dan perlaksanaan projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor termasuk pembinaan loji rawatan air Langat 2  bernilai hampir RM10 bilion ringgit.

Kerajaan negeri mengambil pendirian projek Langat 2 tajaan Putrajaya adalah terlalu mahal dan tidak perlu disegerakan kerana Selangor mencukupi bekalan air sehingga 2019.

"Kerajaan Negeri berpendirian bahawa isu air di Selangor mesti ditangani secara holistik. Pembinaan loji baru adalah satu daripada beberapa langkah yang harus dipertimbangkan secara keseluruhan, termasuk pengurusan aset-aset dan  industri air di Selangor,"  kata Khalid hari ini. 

0 Responses to “Projek Air Langat 2 - Selangor Hanya Setuju Untuk Kaji”

Post a Comment