Sunday, September 5, 2010

Mati dalam Lokap: Polis perlu disiplinkan anggotanya

Polis perlu mendisiplinkan anggotanya bagi mentaati dan menguatkuasakan Akta Kaedah-kaedah Lokap dan Kod Prosedur Jenayah bagi memastikan kes kematian dalam lokap yang disebabkan oleh kecuaian polis dapat dikurangkan. Setakat ini, sebanyak 141 kes kematian dalam lokap telah dilaporkan sejak tahun 2000, dengan yang terbaru melibatkan seorang belia berketurunan India, R Gunasegaran, 31 tahun yang mati di lokap Balai Polis Sentul hanya 2 jam selepas ditahan.



Kordinator Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Tah Moon Hui berkata, walaupun banyak cadangan telah diberi kepda pihak polis tetapi pihak polis dilihat tidak mengambil serius cadangan yang diberi kerana sehingga kini tiada tindakan susulan daripada pihak polis yang mencerminkan bahawa cadangan-cadangan ini dalam pertimbangan.




"Kita telah mengukuti perkembangan kes-kes kematian dalam lokap dalam tahanan sejak beberapa tahun lalu dan  boleh dikatakan tak ada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa polis telah mengambil langkah yang mencukupi untuk mencegah kematian dalam tahanan daripada berlaku.


"Walaupun selepas sesetengah kes berlaku, banyak cadangan telah dikemukakan tapi sehingga kini tiada bukti yang konkrit untuk menunjukkan bahawa mereka telah mengambil langkah pencegahan," kata Tah.


Beliau menjelaskan, pihaknya ada memberikan cadangan agar kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di dalam bilik soal siasat supaya rakaman itu boleh digunakan jika berlaku perkara yang tidak diingini, tetapi sehingga kini tiada tndakan diambil malah kebanyakan CCTV yang telah dipasang dahulu di beberapa posisi di dalam balai polis tidak berfungsi dengan baik.


Beliau seterusnya menjelaskan soal siasat yang dijalankan oleh pihak polis juga selalunya tidak mematuhi larangan yang termaktub di dalam Akta Kaedah-kaedah Lokap yang memperuntukkan berkenaan jangkamasa soal siasat, hak dan keselamatan orang dalam tahanan dan lain-lain isu berkenaan orang dalam tahanan.


Kata Tah lagi, akta yang digubal puluhan tahun lalu masih mempunyai banyak ruang yang boleh diperbaiki seperti menekankan lagi hak orang yang ditahan seperti hak untuk mendapatkan peguam, hak untuk mengetahui sebab ditahan dan sebagainya.


"Dalam akta tersebut telah diperincikan bahawa soal siasat tidak boleh dijalankan selepas 12 hingga 7 pagi tetapi dalam kebanyakan kes kita dapat melihat bahawa soalsiasat telah dijalankan waktu malam.


"Ini bermakna polis sendiri telah tidak mematuhi AKL tersebut," tegas Tah lagi.


Mengulas perlantikan Datuk Ismail Omar sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Musa Hassan, Tah berkata perlantikan itu tepat pada masanya memandangkan telah terdapat banyak maklumbalas negatif terhadap Musa.


Tah juga berkata, Ismail Omar perlu menangani isu kematian dalam lokap dengan sikap profesional dengan memastikan siasatann penuh dibuat dan menahan kemudian, bukannnya menahan seseorang dengan alasan 'membantu siasatan'.


"IGP tersebut harus memastikan bahawa polis menjalankan siasatan sebelum membuat sebarang penahanan, dan ini amat sekiranya polis telah menghabiskan kesemua siasatan yang perlu dan membuat tangkapan selepas itu bermakna polis boleh terus mendakwa orang tersebut di mahkamah.

"Maka biar mahkamah yang memutuskan samada harus terus menahan individu tersebut ataupun tidak"


"Banyak kes kematian dalam tahanan melibatkan mereka yang ditahan untuk membantu siasatan, jadi sekiranya polis telah melengkapkan siasatan sebelum penahanan dibuat maka tempoh penahanan akan menjadi amat kurang dan dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini," katanya lagi.

Akhir sekali, beliau meminta polis mendesak kerajaan untuk menerima dan melaksanakan cadangan-cadangan yang telah diberi bagi mempertingkkatkan lagi mutu kerja polis dan sekaligus mengurangkan kes kematian dalam lokap.


"Pihak polis harus mendesak kerajaan supaya melaksanakan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan agar dapat mengelakkan polis dipersalahkan apabila berlakunya kes kematian dalam lokap, seperti cadangan memasang CCTV dan sebagainya," jelas Tah.

0 Responses to “Mati dalam Lokap: Polis perlu disiplinkan anggotanya”

Post a Comment