SHAH ALAM 13 Sept - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengalukan-alukan pertandingan empat penjuru bagi merebut jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor yang disandangnya kini sambil menganggap ia membuktikan demokrasi adalah bugar dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).
Malah Abdul Khalid menyindir Umno dan Barisan Nasional supaya belajar melaksanakan amalan demokrasi secara tulen sebagaimana yang dipraktikkan oleh KEADILAN dalam proses pemilihan pimpinan parti bagi peringkat cabang dan pusat. Menteri Besar akan dicabar tiga calon iaitu bekas Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Selangor, Mazli Saring,42; bekas Ketua Wanita Cabang Kuala Selangor, Fauziah Sulaiman, 51, dan pesara guru, Muhammad Kamil Vaanan Abdullah, 44.
Pemilihan yang dijangka diadakan pada 3 Oktober pada Mesyuarat Agong Tahunan Kuala Selangor juga menyaksikan lebih 100 pencalonan untuk jawatan-jawatan lain dalam cabang tersebut. "Saya amat gembira melihat perkembangan ini. Lagi ramai lagi bagus. Ini menunjukkan ramai ahli di Kuala Selangor mahu menjadi pemimpin, ini adalah baik," kata Abdul Khalid pada sidang media semasa jamuan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran kerajaan negeri Selangor di i-City Jumaat lalu. Menteri Besar berkata KEADILAN adalah sebuah parti demokratik yang membuka ruang seluas-luasnya kepada semua ahli untuk mengambil bahagian dalam proses pemilihan dan setiap ahli mempunyai hak untuk memilih pemimpin pilihan mereka. "Dalam Selangor sahaja ada hampir 200,000 ahli yang bakal mengundi, ini adalah satu jumlah yang besar. Barisan Nasional buat cara perwakilan jadi calon boleh mempengaruhi kira-kira 2,000 perwakilkan. Kita ada lebih 400,000 ahli dan saya tidak fikir sesiapa pun mampu mempengaruhi ahli seramai itu, itulah perbezaan besar antara kita dan BN. "Jadi kita amalkan mekanisme demokrasi pada peringkat psrti dan juga pemilihan, oleh itu kita mempunyai mutu yang sama," kata beliau lagi. Ditanya samada beliau berhasrat bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden sebagaimana desas desus dalam media, Abdul Khalid berkata beliau mahu melihat dahulu perkembangan pemilihan. "Itu terpulang kepada saya. Saya belum lagi beri jawapan. Saya rasa nak tengok dan lihat perkembangan parti. Pada saya semua ahli adalah sebahagian daripada pasukan jadi adalah penting kita sama-sama duduk semeja dan melihat samada kita boleh sama-sama berkhidmat untuk parti," kata Abdul Khalid lagi. - Suara Keadilan |
0 Responses to “Lagi Ramai Bertanding Lagi Baik, Kata Khalid”
Post a Comment