Friday, September 3, 2010

Jelaskan pemberian bonus RM900 juta tetapi subsidi rm750 juta ditarik

Kerajaan patut menjelaskan rasional di sebalik tindakan membayar 'bonus hari raya' sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam.


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata beliau tidak menentang tindakan tersebut tetapi pembayaran berjumlah RM900 juta untuk semua kakitangan kerajaan adalah "tidak logik."

"Kerajaan tarik RM750 juta subsidi, tapi tiba-tiba dia beri RM500 kepada kakitangan awam semua peringkat," tegas beliau.
Tambahnya, penjelasan itu perlu memandangkan kerajaan sebelum ini bertindak menarik balik subsidi berjumlah RM750 juta dengan alasan bahawa subsidi berkenaan tidak lagi efektif kerana hanya dapat memberi manfaat kepada golongan kaya, katanya.


Beliau menjelaskan tindakan kerajaan itu telah menyebabkan kenaikan harga barangan yang perlu ditanggung oleh semua lapisan masyarakat.
"Pengarah yang gaji besar pun dapat juga. Anda tarik (subsidi) daripada orang susah untuk bagi untuk bagi (bonus berjumlah) RM900 juta lebih.


"Jadi apa logiknya? Adakah semata-mata sebab kerajaan Pulau Pinang dan Selangor dapat beri juga?," soal Khalid dalam satu sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini.

Katanya, pemberian 'bonus' hari raya itu juga diumumkan dalam keadaan kerajaan mengumumkan belanjawan defisit.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan Pakatan Pulau Pinang dan Selangor mampu berbuat demikian kerana mempunyai bajet lebihan.

"Tapi (kerajaan pusat) kata bajet defisit hingga terpaksa tarik subsidi," ujar beliau lagi.

0 Responses to “Jelaskan pemberian bonus RM900 juta tetapi subsidi rm750 juta ditarik”

Post a Comment